Kuala Lumpur : Jika kepala tak betul, ekor pun tak betul. Itu sindiran pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap situasi menyedihkan yang berlaku kepada seteru utamanya Selangor FC apabila terlepas peluang melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Pada perlawanan semalam menyaksikan Selangor FC perlu menunggu musim depan untuk menjulang piala apabila seri 1-1 dalam aksi timbal balik Piala Malaysia sekali gus tewas menerusi agregat 3-1 di tangan Terengganu FC.
Aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan pelawat nyata lebih bertuah untuk mara ke separuh akhir terutama selepas meraih kemenangan selesa 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak sebelum ini.
Gol skuad Penyu diraih melalui sepakan penalti Ivan Mamut di minit 23, manakala jaringan penyamaan hasil tandukan Safuwan Baharudin di minit 69.
Tunku Ismail menerusi beberapa hantaran di InstaStory peribadinya turut mendedahkan Selangor FC menerima dana RM45 juta daripada kerajaan negeri namun gagal untuk meraih sebarang kejayaan.
“RM45 juta duit kerajaan setiap tahun. Lapan tahun tiada apa-apa dan hanya ‘scam’ penyokong sendiri. Lapan tahun hina pengurusan lama, tapi hanya ‘claim’ kejayaan mereka.
“Lapan tahun mendabik dada, lapan tahun cepat berpuas hati. Lapan tahun baling batu sembunyi tangan, lapan tahun reka keghairahan sendiri dan apabila gagal, berpura-pura jadi mangsa dibuat orang. Jikalau kepala pun tak betul, ekor pun tak betul,” katanya.
Selain itu, beliau juga turut mengkritik badan pengurusan Selangor FC yang kurang ilmu dalam dunia bola sepak terutama untuk menguruskan pasukan.
“Yang membuat keputusan dan beli pemain pihak pengurusan. Jadi, buat apa nak salahkan jurulatih? Cuba pakai otak. Lebih teruk lagi apabila ada pemilik tak tahu pasal bola sepak,” tulisnya.
-Harian Metro