KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi bebanan terberat terhadap Kerajaan Perpaduan dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawabnya.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata ini khususnya untuk menjawab dan menyakinkan pengundi atas pagar dan pengundi tegar Pakatan Harapan (PH).
Mujibu berkata, pengundi tegar PH mengundi gabungan itu sebelum ini disebabkan ideologi yang mahu membersihkan negara ini daripada rasuah.
“Walaupun keputusan mahkamah itu akan dihormati, apabila sudah jadi begini kebanyakan, pengundi atas pagar atau pengundi PH akan berasa tertipu dan dikhianati,” katanya hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini semalam, membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Mujibu turut melihat, keputusan ini akan memberikan impak kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram di Johor.
“Kecil atau besar itu barang kali impaknya ada. Perkembangan seperti ini kalau dalam kalangan orang Melayu tidak ada memberikan impak apa-apa.
“Tetapi untuk pengundi bukan Melayu dan pengundi atas pagar sama ada mereka tukar haluan atau tak keluar mengundi,” katanya.
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berkata, pengguguran kes Ahmad Zahid mungkin memberikan persepsi kurang baik dalam kalangan masyarakat.
“Masyarakat melihat proses badan kehakiman ini dipengaruhi oleh kerajaan semasa,” katanya.
Selain itu, Mohd Izani berkata, UMNO juga menghadapi cabaran dari segi penerimaan masyarakat atau pengundi.
“Walaupun Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan dari pertuduhan, itu bukan bermaksud UMNO boleh meraikannya, tetapi perlu terus dengan usaha untuk memastikan imej, reputasi serta persepsi parti itu dilihat bersih,” katanya.
Dari segi penerimaan orang Melayu selepas ini, Mohd Izani berkata, ini akan mengambil masa.
BHonline-