SHAH ALAM – Lebih ramai bersetuju dengan cadangan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) wajar dikembalikan semula.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Berdasarkan undian aplikasi X Sinar Harian @SinarOnline dalam tempoh 24 jam bermula jam 12.22 tengah hari pada Sabtu mendapati sebanyak 62.2 peratus yang bersetuju, manakala 37.8 peratus lagi tidak setuju.
Undian setakat jam 1.11 petang itu berjaya mengumpulkan seramai 304 undi daripada netizen.
Sebelum ini, wujud gesaan beberapa pihak untuk melaksanakan semula sistem GST khususnya bagi menyelesaikan masalah ketirisan cukai.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin melaksanakan semula GST atau sebaliknya.
Pada Khamis, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya juga telah menerima beberapa maklum balas daripada ahli-ahli Parlimen dan akan mengulas mengenai perkara itu di dalam Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu, salah seorang pengguna ‘X’, @61_garuda, mempersoalkan keperluan mengembalikan semula GST.
“GST inilah diguna oleh Pakatan Harapan (PH) memfitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memburukkan dan jatuhkan dia.
“Kenapa pulak nak dikembalikan?” katanya dalam ruangan komen undian tersebut pada Sabtu.
Selain itu, seorang lagi pengguna ‘X’, @EjaAbot turut berseloroh dengan berkata, lebih baik wang yang ada disalurkan untuk zakat dan derma.
“Tolong jangan bodoh dengan menyokong. Kalau kaya sangat derma dan berzakat banyak sikit,” ujarnya.
-Sinar Harian