JAKARTA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat tiba di ibu kota Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang kemuncak berkaitan, di sini yang akan bermula esok.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Pesawat khas yang membawa Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Tangerang, Banten pada jam 3.28 petang waktu tempatan (4.28 petang waktu Malaysia).
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri disambut Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi; Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu dari 5 hingga 7 September iaitu yang kedua dihadirinya selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo.
Ini adalah sidang kemuncak pertama beliau bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.
Semasa persidangan itu, 11 pertemuan dua hala dijadualkan termasuk dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
-Berita Harian