KUALA LUMPUR : Polis mengulangi nasihat agar orang ramai tidak menyertai perhimpunan dinamakan ‘Aman Selamatkan Malaysia’ yang dijadualkan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini jam 2 petang nanti.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata pihaknya akan menempatkan anggota secukupnya di lokasi perhimpunan berkenaan, selain melaksanakan operasi pencegahan jenayah di sekitar ibu negara.
“Tiada jalan ditutup, tetapi ada pemeriksaan jalan raya dalam operasi cegah jenayah dan operasi pematuhan undang-undang trafik. Kita tempatkan anggota di lokasi-lokasi tertentu untuk menjalankan operasi, pemantauan dan pemeriksaan biasa.
“Bagi perhimpunan petang ini, kita turut menempatkan anggota di lokasi untuk pemantauan keselamatan, kita tempatkan anggota secukupnya,” katanya kepada BH, hari ini.
Katanya, tugas kawalan turut membabitkan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta balai polis.
“Kita minta orang ramai tidak melibatkan diri dalam perhimpunan sebegini. Adalah lebih baik orang ramai ikut peraturan dan segala arahan pihak polis,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyarankan orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu kerana menyusahkan pergerakan banyak pihak, terutamanya peniaga dan pekerja di sekitar lokasi himpunan berlangsung.
Setakat semalam, sebanyak 22 laporan sudah dibuat oleh orang ramai yang meminta pihak polis menghalang perhimpunan itu daripada diteruskan.
Terdahulu, Sekretariat Aman Selamatkan Malaysia, Hilman Idham memaklumkan himpunan yang dijadualkan di Masjid Jamek Kampung Baru hari ini akan tetap diadakan.
-Berita Harian