MOSCOW : Kementerian Kehakiman Russia menyenaraikan ketua pengarang akhbar Novaya Gazeta, Dmitry Muratov sebagai ejen asing.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Muratov yang merupakan pemenang Anugerah Nobel Keamanan 2021 didakwa `menghasilkan dan mengagihkan kerja dihasilkan ejen asing.
“Beliau didakwa menggunakan media asing untuk mempromosi pendapat yang bertujuan mencetuskan persepsi negatif terhadap dasar dalam dan luar Russia,” jelas Novaya Gazeta Eropah di laman X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Lapor akhbar itu, pakar ekonomi, Konstantin Sonin turut dimasukkan dalam senarai berkenaan.
Akhbar itu memetik kenyataan Kementerian Kehakiman memaklumkan Sonin `muncul dalam media asing sebagai responden’
Dilaporkan, Muratov lantang mengkritik perang Russia di Ukraine.
Sebelum ini, Muratov merangkul Anugerah Nobel Keamanan atas ‘semangat berani’ mempertahankan kebebasan mengeluarkan pandangan di negaranya.
Muratov merupakan pengasas bersama akhbar bebas, Novaya Gazeta dan merupakan ketua pengarang berpengalaman selama 26 tahun.
Beliau selama berdekad mempertahankan kebebasan bersuara di Russia walaupun berdepan situasi yang mencabar di negaranya.
-Utusan Online