KUALA LUMPUR : Kerajaan berhasrat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada bekas banduan bagi menggantikan tenaga pekerja asing di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Beliau berkata, ini kerana bekas banduan terutama mereka yang sudah selesai menjalani hukuman kecil, masih produktif untuk bekerja.
“Kita boleh menggunakan tenaga mereka (bekas banduan) untuk menggantikan pekerja asing. Banyak usaha diambil Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ia dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), malah banyak latihan juga diberikan.
“Ramai juga (bekas banduan) diberi peluang pekerjaan. Mereka yang ada dalam penjara diberi latihan dan mereka yang keluar dari penjara selepas menjalani latihan juga sudah ditempatkan di alam pekerjaan,” katanya menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang menjadi pemudah cara antara majikan dan pihak penjara untuk mengadakan persefahaman yang membenarkan bekas banduan menggantikan pekerja asing., di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanyakan jumlah pekerja asing dalam negara, Sivakumar berkata, setakat 30 September lalu, unjuran jumlah keseluruhan kumpulan itu seramai 2,730,153 orang.
Beliau berkata, ia merangkumi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif berjumlah 1,830,828 orang, pekerja asing yang belum memasuki negara seramai 152,158 orang dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 seramai 747,167 orang.
“Penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor tertentu yang sukar diisi tenaga buruh tempatan. Justeru, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang didominasi pekerja asing.
“KSM menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi, sekali gus kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya.
-Berita Harian