KUALA NERUS: Seorang budak perempuan berusia 16 bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kereta di sebuah universiti awam (UA), di sini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Siasatan awal polis yang menerima laporan kejadian itu jam 4.30 petang semalam, mendapati bapa mangsa dikatakan terlupa menghantar anaknya ke pusat asuhan yang terletak dalam kampus UA terbabit sebelum ke tempat kerja di universiti sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata polis juga dimaklumkan oleh kakitangan pusat kesihatan di UA berkenaan bahawa kanak-kanak terbabit disahkan sudah meninggal dunia.
“Sebaik menerima laporan, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan,” katanya yang ditemui media selepas Latih Amal Bencana Udara (EX-PENYU) 2023 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, polis akan mengambil keterangan daripada penjaga kanak-kanak terbabit bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan emosi keluarga mangsa.
BHonline-