KUALA LUMPUR: Pemimpin dunia mengutuk dan mengecam tindakan Israel mengebom sebuah hospital di Gaza yang menyebabkan lebih 500 orang terkorban dengan menyifatkan perbuatan rejim Zionis itu sebagai pembunuhan dan jenayah perang.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Malah, buat kali pertama rata-rata pemimpin Barat turut mengkritik Israel dengan menyifatkan perbuatan mereka sebagai kejam dan sangat keji.
Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata sebahagian besar mangsa yang terkorban dalam serangan di Hospital Al- Ahli Arab adalah wanita dan kanak-kanak.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, berkata beliau terasa amat ngeri melihat beratus-ratus orang terbunuh dalam pengeboman hospital di Gaza.
“Saya menyeru gencatan senjata kemanusiaan segera di Asia Barat untuk mengurangkan penderitaan manusia yang epik. Terlalu banyak nyawa dan nasib seluruh wilayah bergantung pada keamanan,” katanya.
Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen, berkata tiada apa yang boleh memberi justifikasi serangan ke atas hospital yang sesak dengan orang awam.
Presiden Russia, Vladamir Putin menyifatkan pengeboman Hospital Al-Ahli Arab sebagai malapetaka yang dahsyat yang menunjukkan perang Israel-Hamas mesti dihentikan segera.
Salahi undang-undang
Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, menyifatkan tindakan Israel yang menyasar infrastruktur awam adalah tidak selaras dan menyalahi undang-undang antarabangsa.
Pemimpin Arab Saudi, Qatar, Oman, Mesir, Algeria, Lubnan dan Libya dalam kenyataan rasmi mengutuk serangan itu yang telah meragut ratusan nyawa, lapor Agensi Anadolu.
Negara-negara berkenaan menyifatkan insiden itu sebagai jenayah kejam, serta mencabul undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Arab Saudi menyeru masyarakat antarabangsa berhenti berurusan dengan pihak yang berpendirian dwistandard.
Qatar menyifatkan pengeboman hospital itu sebagai ‘pembunuhan kejam beramai-ramai dan jenayah tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam yang tidak berdaya.’
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengecam tindakan segelintir masyarakat antarabangsa yang dilihat ‘membisu’ dengan jenayah dilakukan Israel.
Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan udara di hospital yang terletak di tengah Gaza itu.
Selain serangan udara, Israel turut menyekat bekalan air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia, Dmitry Medvedev menyifatkan serangan Israel ke atas Hospital Al-Ahli Arab di Gaza sebagai jenayah perang.
Beliau berkata, pihak yang mengambil peluang untuk mengaut keuntungan daripada peperangan itu dan tanpa berfikir panjang mengagihkan sejumlah besar wang untuk membekalkan senjata perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
Canselor Jerman, Olaf Schulz, berkata imej letupan yang berlaku susulan pengeboman terhadap di hospital Gaza itu amat menakutkan.
Beliau menambah, siasatan menyeluruh mesti dijalankan ke atas apa yang berlaku di Gaza.
Raja Jordan, Raja Abdullah turut mengecam pembunuhan kejam orang awam yang tidak bersalah, termasuk pesakit yang sedang menerima rawatan.
Baginda bertitah perbuatan itu tidak boleh dibiarkan kerana ia jenayah perang yang amat kejam dan Israel perlu segera menamatkan pencerobohan ke atas Gaza.
Raja Jordan turut mengingatkan bahawa peperangan yang telah memasuki fasa berbahaya itu akan mengheret wilayah berkenaan ke kancah bencana.
Perdana Menteri Jordan, Bisher Khasawneh mengumumkan Jordan akan berkabung selama tiga hari sebagai menghormati mangsa yang terkorban.
Susulan pembunuhan itu, Jordan turut membatalkan mesyuarat serantau yang turut dijadual dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Mesyuarat empat negara itu sepatutnya dihadiri Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi; Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, selain Raja Abdullah.
Di New York, Majlis Keselamatan PBB dijangka akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari ini bagi membincangkan serangan ke atas Hospital Al-Ahli Arab, lapor Agensi Anadolu (AA).
Memetik kenyataan jurucakap PBB, mesyuarat itu dijadualkan pada 10 pagi waktu tempatan (1400GMT) dan akan dijalankan dalam format debat terbuka.
Draf resolusi dari Brazil menggesa ‘humanitarian pause’ di Gaza, akan diundi pada mesyuarat itu.
BHonline-