Sungai Petani : Kegiatan licik Geng Tikus yang melakukan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi untuk dijual ke sempadan negara jiran sejak lima bulan lalu akhirnya kecundang apabila mereka dicekup, semalam.
Wow….pizza cuma RM11?…..nak tahu lanjut..klikĀ sini…..
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, turut ditahan lelaki tempatan berusia 49 yang juga dalang sindiket, serta 12 lagi ahli terdiri daripada sembilan warga tempatan dan tiga warga Myanmar.
Beliau berkata, kesemua mereka berusia antara 35 hingga 49 tahun dipercayai melakukan kegiatan itu di beberapa stesen minyak di daerah ini selepas premis menutup operasi pada tengah malam.
“Serbuan dilakukan di sebuah premis di kawasan Perindustrian MIEL Bukit Makmur, dua stesen minyak di Sungai Lalang dan taman perumahan Laguna di Merbok.
“Dalam serbuan ini, kita merampas dua lori jenis treler, lapan lori kecil, kenderaan pacuan empat roda, dua tangki berkapasiti 20,000 litter serta beberapa peralatan menyeleweng minyak di semua premis berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.
Katanya, serbuan dilakukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda serta 19 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam Op SUBDI antara 1 tengah hari hingga 5.30 petang semalam.
Zaidy berkata, sebanyak 74,600 liter diesel dianggarkan bernilai RM162,628 dirampas.
Beliau berkata, kesemua barangan yang dirampas kemudian disita untuk tindakan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM459,628.
Zaidy berkata, modus operandi sindiket adalah membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Kuala Muda menggunakan lori jenis satu dan tiga tan yang sudah diubah suai.
Beliau berkata, aktiviti pembelian diesel dilakukan 24 jam setiap hari dan lori berkenaan akan kembali ke gudang untuk memindahkan diesel ke dua tangki masing-masing berkapasiti 20,000 liter.
“Kemudian diesel dipindahkan ke lori kontena berkapasiti 42,000 liter setiap lori dan dijual di beberapa lokasi di stor minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati, kawasan gudang itu adalah transit untuk pemindahan diesel.
“Gudang itu pernah diserbu polis tiga bulan lalu namun mereka masih menjalankan kegiatan itu.
“Sembilan individu yang dipercayai pemandu lori dibebaskan dengan jaminan polis manakala pemilik premis serta tiga warga asing masih ditahan reman dua hari untuk membantu siasatan,” katanya.
-Harian Metro