BENTONG : Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai meminta pemimpin Perikatan Nasional (PN) cermin diri kerana mereka turut menggunakan aset kerajaan.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Menjawab gesaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau proses perjalanan kempen kerana ada parti politik didakwamenyalah-guna jentera kerajaan, beliau berkata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap bekas Perdana Menteri turut didakwa menggunakan aset kerajaan sewaktu berkempen.
Beliau berkata, terlihat kenderaan yang membawa Muhyiddin bersama pengiring di rancangan FELDA di DUN Pelangai.
“Malam itu semasa saya makan di FELDA Kemahal. Tiba-tiba lalu (kenderaan membawa Muhyiddin dan pengiring) ketika saya mahu bersembahyang di isyak di sebuah masjid.
“Itu aset (kenderaan dinaiki Muhyiddin dan pengiring) siapa ya? Aset Muhyiddin agaknya ya? Saya sedang menjawab secara sinis.
“Dia (Muhyiddin) bekas Perdana Menteri. Ada bodyguard (pengawal peribadi). Dia ada rider (pengiring) dan dia ada (naik) kereta kerajaan. Saya nampak Tan Sri Muhyiddin lalu betul-betul semasa saya tengah makan di sebuah kedai dekat FELDA Kemahal pada malam itu.
“Aset Muhyiddin ke tu? Aset kerajaan. Maka saya menjawab dengan sendiri tuduhan Tuan Ibrahim Tuan Man. Walhal dia (Muhyididn) boleh saja datang guna kenderaan sendiri kan, walaupun dia bekas Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Gerakan Kampung Lembah Jaya di sini, hari ini.
Terdahulu, PN menerusi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa SPR memantau parti politik yang menggunakan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mahu SPR memantau pengumuman dan pemberian insentif ‘durian runtuh’ oleh kerajaan sama ada membabitkan kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen berlangsung.
Tuan Ibrahim yang juga ketua pembangkang DUN Pahang menegaskan tatakelola itu jelas bertentangan dengan semangat perjuangan reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 25 tahun lalu.
-Berita Harian