SHAH ALAM: Stadium ikonik Selangor, Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan kira-kira 80,300 penonton itu tetap akan dirobohkan pada tahun ini bagi memberi laluan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemaju projek berkenaan, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) masih menunggu kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memulakan pelaksanaannya.
“Sebaik sahaja dapat KM, kita akan laksanakan (perobohan) tahun ini. Jika tidak awal Oktober, stadium akan dirobohkan pada awal November,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan Selangor 2023, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pembangunan semula KSSA akan melalui empat peringkat dengan kos RM800 juta pada fasa pertama diluluskan bagi pembinaan stadium yang melibatkan proses perobohan struktur dan kerja tanah.
Projek stadium itu juga sebelum ini dikatakan menjadi sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang termasuk dalam perancangan Sungai Klang Maritime Gateway (SMG).
Selain itu, Amirudin yang memegang portfolio kewangan negeri pernah menjelaskan kos RM787 juta bagi Stadium Shah Alam melibatkan proses membaik pulih atau menaik taraf keseluruhan fasiliti dan bukannya pembinaan stadium baharu.
Justeru, kompleks tersebut akan dibangunkan secara bersama di antara kerajaan negeri dengan MRCB dijangka siap pada tahun 2026.
Proses baik pulih dan pembinaan KSSA akan dilaksanakan sejajar dengan projek Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) yang dijangka siap pada tahun sama.
Bangunan ikonik di Seksyen 13 yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.
Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang pada satu-satu masa.
Bukan sahaja stadium tersebut akan diroboh, malah seluruh KSSA yang merangkumi beberapa kemudahan seperti Stadium Malawati dan Stadium Mini serta 5,500 ruang letak kereta dikatakan akan dibangunkan secara menyeluruh.
UtusanOnline-