PETALING JAYA : Pihak berkuasa disyor melakukan penambahbaikan ke atas saliran air dan membina tembok penahan tanah bagi mengelakkan berlakunya tanah-runtuh di cerun-cerun di seluruh negara.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ia bagi mengelakkan berulangnya tragedi tanah runtuh yang meragut 31 nyawa di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember tahun lalu.
Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Abdul Malek Yusof berkata, punca utama tragedi tanah runtuh di Batang Kali adalah daripada masalah ketiadaan saliran air yang baik.
“Hujan lebat menyebabkan struktur tanah menjadi mendap ditambah lagi dengan saliran air kurang baik yang mampu menyebabkan tanah cerun itu runtuh.
“Kerajaan atau pihak berwajib perlu membina tembok penahan dan membuat penanaman pokok semula di cerun tersebut supaya tanah menjadi kuat yang dapat mengelakkan tanah runtuh kembali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa pada 16 Disember tahun lalu berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.
Perkara itu diperakui menerusi Laporan Siasatan Berkaitan Tragedi Tanah Runtuh di Batang Kali yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), kelmarin.
Dalam pada itu, pakar alam sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, ketika musim hujan, air di permukaan yang banyak meresap ke dalam cerun sering menyebabkan kegagalan cerun.
“Cerun tambakan ini dibina untuk membuat jalan dengan sudut cerun dengan beberapa teres tertentu. Setengahnya ada sistem saliran untuk mengalirkan air hujan dan untuk menghindar dari cerun lampau tepu dengan air.
“Kejadian di Batang Kali disebabkan cerun tambakan itu tepu dengan air dan gagal menjadi aliran lumpur bergerak sehingga menyebabkan bencana berlaku di kawasan perkemahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ibrahim berkata, untuk mengurangkan risiko bencana lazimnya kita melihat dan memperbaiki faktor penyebab.
“Kerajaan perlu mengenal pasti cerun begini dan mengukuhkan serta membuat beberapa tindakan dasar bagi mengelak bencana atau mengurangkan risiko bencana,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, kerajaan perlu mengelakkan pembangunan di kawasan sensitif yang boleh menyebabkan tanah runtuh kerana khuatir tragedi di Batang Kali berulang.
“Kita sepatutnya bertanya bagaimana mereka boleh membina struktur di kawasan cerun dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil jika sekiranya berlaku tanah runtuh di kawasan tersebut.
“Krisis iklim yang kita hadapi kini dikatakan akan makin buruk dan menyebabkan lebih banyak fenomena alam seperti hujan lebat, taufan dan sebagainya,” katanya.
Mohd. Yusaimi berkata, kerajaan boleh beri kebenaran kepada orang awam untuk meneliti laporan tersebut dan mendapat pandangan pakar lain sebagai pandangan kedua.
-Utusan Online