KUALA LUMPUR: Mengurus pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) ibarat menjaga 32 bayi kaya dan ‘anak manja’, kata pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ di Youtube malam tadi, Tunku Ismail berkata penubuhan skuad ‘Harimau Selatan’ adalah satu idea yang memberi banyak manfaat khususnya buat bangsa Johor namun tanggungjawab menjaga JDT sememangnya memberi tekanan.
“Saya tak kisah kalau ada pemain yang nak terasa tetapi itu kebenarannya. Secara luarannya, semuanya nampak bagus tetapi di belakangnya, ia bukan kerja yang senang.
“Bagaimana saya nak pastikan pemain macam Safiq Rahim, Fernando Forestieri, Farizal Marlias yang sudah menang banyak piala, duit pun banyak, untuk bermain sebaik mungkin seperti tak pernah menang sesuatu.
“Kita perlu pastikan yang semangat pemain ini terus membara. Kalau tidak, pemain kita akan fikir, sudah dapat duit bulan-bulan, saya tidak akan main sungguh-sungguh sehingga patah kaki kerana saya dah menang macam-macam.
“Itu karakter saya untuk memberikan rasa profesionalisme yang inginkan sesuatu dan kejayaan yang tidak pernah cukup. Sebab itulah JDT berada di tahap sekarang,” kata Tunku Ismail.
Sebagai rekod, JDT yang dibimbing Esteban Solari muncul sebagai pasukan paling berjaya dalam kancah domestik dalam tempoh sedekad ini apabila berjaya meraih kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.
Bukan setakat memenangi piala domestik malah mereka turut mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dari Malaysia memenangi Piala AFC 2015.
Malah skuad Harimau Selatan turut menjadi pasukan pertama dari Malaysia melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim lalu apabila mengungguli saingan peringkat kumpulan.
BHonline-