BAYAN LEPAS : Operasi mencari dan menyelamat baki empat mangsa runtuhan di gudang logistik di Batu Maung, di sini, bergantung kepada keadaan cuaca, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
“Kerisauan kami ialah (faktor) cuaca, jika kekal (panas) seperti ini, lebih mudah operasi dijalankan.
“Namun sekiranya hujan, ia akan mengganggu operasi kerana kawasan ini (lokasi kejadian) masih dalam tapak pembinaan,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Mengulas lanjut Zulfahmi berkata, baki empat mangsa itu dipercayai tertimbus dalam lantai simen.
Ia kerana cuaca yang panas menyebabkan simen itu mengeras.
“Simen konkrit berkenaan dibancuh kira-kira jam 9 malam (tadi) dan ia mungkin sudah mengeras kerana sudah 12 jam berlalu.
“Tetapi konkrit itu tidak dalam keadaan mampat dan ia jatuh ke bawah pada ketinggian 18 meter,” katanya lagi.
Menurut Zulfahmi lagi, sehingga jam 1 tengah hari, pasukan penyelamat sedang berusaha mengalihkan rasuk utama seberat 33 tan sebelum meneruskan operasi.
Sebanyak 60 hingga 70 tan sisa konkrit bersama besi sudah dikeluarkan daripada kawasan runtuhan dan pihaknya masih mencari kaedah bagi mengeluarkan konkrit utama.
“Kita tidak boleh menjangka sama ada operasi akan tamat pada hari ini.
“Kita kena lebih berhati-hati keluarkan struktur utama sebab berat lebih 30 tan, bimbang ia menyentuh dan mengganggu struktur lain sekali gus lokasi berkenaan menjadi tidak selamat.
“Pasukan STORM (Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia) dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang sedang bersiap sedia dan unit K9 (anjing pengesan) juga sudah masuk ke lokasi.
-Berita Harian