MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mendakwa akaun WhatsApp digodam sehingga namanya dipaparkan kononnya meminta wang daripada orang ramai sejak Selasa lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurutnya, perkara itu disedari apabila menerima panggilan telefon daripada beberapa kenalan dan ahli keluarga yang meminta kepastian selepas menerima mesej berkenaan.
“Ada usaha mengaibkan saya dengan menggunakan nombor telefon saya yang lama dan meminta duit daripada semua orang.
“Alhamdulillah saya sudah buat laporan polis dan menamatkan nombor terbabit, malangnya ia masih digunakan melalui WhatsApp,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, WhatsApp tidak boleh digunakan selepas menerima dan mengesahkan enam digit kod dihantar seorang kenalannya pada 31 Oktober lalu, kira-kira jam 9 malam.
“Waktu itu saya berada di rumah di Ayer Keroh sebelum seorang kenalan menghantar mesej untuk ‘private chatting’ dan menyuruh saya menerima kod peribadi sebanyak enam digit.
“Memandangkan dia kenalan dalam kumpulan WhatsApp saya menerima kod itu dan lima minit kemudian WhatsApp saya tidak boleh digunakan dan mula menerima panggilan bertanyakan adakah saya mahu meminjam wang?” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada 1 November lalu.
BHonline-