PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kishida yang dalam lawatan kerja selama dua hari tiba pada jam 10 pagi tadi bersama delegasinya dan disambut oleh Anwar.
Anwar dan Kishida kemudian mengadakan pertemuan empat mata sebelum menyertai delegasi masing-masing untuk mengadakan mesyuarat bilateral.
Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan sidang media bersama pada jam 12 tengah hari.
Kishida yang mengadakan lawatan sulungnya ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Oktober 2021, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 7.35 malam tadi.
Malaysia dan Jepun meningkatkan hubungan mereka daripada Rakan Strategik Dipertingkat kepada Rakan Strategik penuh pada 2015 ketika Kishida melawat Malaysia sebagai Menteri Luar.
Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015.
Setakat Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion).
-Berita Harian