Kuala Terengganu : Bonus kepada kira-kira 14,000 penjawat awam di Terengganu akan diumumkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mengambil keputusan berbuat demikian kerana mahu lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang isu timbul.
“Insya-Allah, ia (bonus) akan diumumkan selepas pilihan raya (dan) ia akan diumumkan secara pentadbiran. Kita akan maklum kepada semua agensi-agensi yang terlibat.
“Jumlah tak boleh sebut (tapi) jumlahnya akan naik tetapi tak boleh beri tahu lagi, nanti dululah” katanya selepas Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Tahun lalu, kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM900 kepada penjawat awam di negeri ini.
-Harian Metro