ATHENS: Sebuah kapal kargo dengan bendera Comoros serta membawa 14 orang, dilaporkan karam di pesisir Pulau Lesbos ketika angin kencang melanda kawasan itu, menurut Pengawal Pantai Greece, hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Susulan itu, lima kapal kargo, tiga kapal Pengawal Pantai, beberapa helikopter Tentera Udara dan Tentera Laut, serta sebuah frigat Tentera Laut dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pengawal Pantai memaklumkan, sebuah helikopter Tentera Laut berjaya membawa seorang kru kapal kargo RAPTOR itu keluar dari laut sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Lesbos.
Menurut Agensi Berita Athens (ANA), kapal kargo terbabit mempunyai 14 kru dan membawa muatan garam.
Memetik syarikat operasi kapal itu yang berpangkalan di Lubnan, ANA melaporkan kru terbabit meliputi dua warga Syria, India (seorang) dan Mesir (11).
Dengan memetik Pengawal Pantai pula, ANA melaporkan kapal berkenaan karam di perairan 4.5 batu nautika barat daya Lesbos, awal pagi tadi.
Kapal terbabit dalam pelayaran dari Dekheila, Mesir, menuju ke Istanbul.
Pihak berkuasa berkata, kali pertama kapal itu melaporkan kegagalan mekanikal pada jam 7 pagi waktu tempatan.
Pada jam 8.20 pagi, kapten melaporkan kapal itu berada dalam keadaan condong, lalu mengaktifkan isyarat kecemasan ‘mayday’ sebelum ia hilang dari radar.
Kapal-kapal kekal berlabuh di sekitar Greece, semalam, ketika angin kencang membadai dengan kelajuan menuju ke tahap ribut.
Amaran cuaca kecemasan yang dikeluarkan Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Hellenic (EMY), dinaikkan daripada tahap ‘Cuaca Buruk’ kepada ‘Fenomena Cuaca Berbahaya’ ketika Ribut Oliver (yang juga dipanggil Bettina) bergerak dari Laut Adriatik menuju ke Greece.
BHonline-