BEIRUT: Ketua Hizbullah Lubnan, Hassan Nasrallah hari ini dijangka bersuara buat kali pertama selepas serangan terhadap Palestin berlangsung sejak berminggu lalu dan ia dilihat mampu memberi kesan kepada konflik di Gaza itu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ucapan Nasrallah yang dinanti-nantikan akan disiarkan pada sebahagian daripada acara mengenang pejuang yang terkorban dalam pengeboman Israel, di pinggir selatan Beirut, lokasi kubu kuat Hizbullah, pada 3 petang ini (waktu tempatan atau jam 9 malam waktu Malaysia).
Selepas Hamas melancarkan serangan 7 Oktober ke atas Israel dari Semenanjung Gaza, sempadan selatan Lubnan menyaksikan pertukaran serangan secara ‘tit-for-tat’ (balas membalas) semakin meningkat, terutamanya antara Israel dan Hizbullah, sekutu kumpulan Palestin, sehingga mencetuskan kebimbangan pergolakan yang lebih dahsyat.
Sejak semalam, serangan rentas sempadan semakin hangat apabila Israel bertindak balas dengan ‘serangan meluas’ susulan Hizbullah menyerang 19 kedudukan Israel secara serentak.
Roket juga melanda bandar Israel, Kiryat Shmona berhampiran sempadan dalam satu serangan oleh sayap bersenjata Hamas di bahagian Lubnan.
Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian juga memberi amaran mengenai ‘rantau itu seperti ‘tong serbuk bahan api’ (berbahaya) dan ‘apa sahaja mungkin terjadi’ sekiranya Israel tidak berhenti menyerang Gaza.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden juga sudah menghantar dua kumpulan pengangkut pesawat ke timur Mediterranean malah memberi amaran kepada Hizbullah dan yang lain supaya menjauhi konflik itu.
“Kami mempunyai kepentingan keselamatan negara yang penting di sini.
“Saya tidak percaya kita telah melihat sebarang petunjuk secara khusus bahawa Hizbullah sudah bersedia untuk bertindak sepenuhnya. Jadi kita akan lihat apa yang dia mahu katakan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby kepada pemberita.
Menurut pengiraan AFP, di pihak Lubnan, seramai 71 orang terbunuh antaranya, 53 pejuang Hizbullah, orang awam dan seorang wartawan Reuters manakala di pihak Israel pula, hanya sembilan orang maut iaitu lapan askar dan seorang orang awam.
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati memberitahu AFP pada Isnin lalu, bahawa beliau melakukan apa sahaja yang boleh bagi menghalang negaranya daripada ‘turut berperang’ dan memberi amaran mengenai peningkatan suhu itu merebak di ‘seluruh wilayah’.
Namun, sesetengah penganalisis percaya Hizbullah sebenarnya tidak berminat untuk terbabit sepenuhnya dalam konflik yang didakwa diancam oleh pegawai Israel boleh memusnahkan Lubnan.
Bagaimanapun, keputusan sebenar terletak pada Iran, yang mengetuai ‘paksi penentangan’ serantau terhadap Israel.
Selain Hizbullah, dalam beberapa minggu kebelakangan ini. beberapa kumpulan bersenjata dari Syria, Iraq dan Yaman sudah menyerang kepentingan Israel dan AS di rantau itu.
“Hizbullah bukan proksi Iran, ia adalah sekutu Iran… Hizbullah tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk campur tangan.
“Hizbullah mempunyai lebih banyak pengalaman yang jelas memerangi Israel berbanding Iran. Iran tidak mempunyai konfrontasi langsung dengan Israel,” kata pakar Hizbullah di Universiti Cardiff, Amal Saad.
Hizbullah kelmarin turut menerbitkan sepucuk surat daripada pejuangnya yang ditujukan kepada kumpulan Palestin di Gaza, dengan menyatakan ‘jari mereka bersama anda… untuk menyokong masjid Al-Aqsa dan saudara kita yang tertindas di Palestin’.
Ketegangan di sempadan itu mengembalikan semula peristiwa perang dahsyat Hizbullah pada 2006 dengan Israel membunuh lebih 1,200 orang di Lubnan, yang kebanyakannya orang awam manakala sebanyak 160 kematian di Israel, yang sebahagian besarnya adalah tentera.
Sejak perang itu, Nasrallah jarang muncul di khalayak ramai. Penampilan terakhirnya pada Oktober 2016.
BHonline-