PUTRAJAYA: Pemimpin parti yang memegang jawatan di peringkat Kabinet mahupun wakil rakyat ditegur supaya tidak hanya mendengar pandangan orang terdekat yang mungkin berperanan hanya sebagai ‘pengikut arahan’.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perwakilan PKR dari Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata sebaliknya pemimpin perlu sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara sebenar yang berlaku.
“Saya juga ingin mengingatkan semua pimpinan parti kita yang di atas pentas terutamanya Yang Berhormat, termasuk saya diri sendiri, kehidupan harian sebagai seorang wakil rakyat memang berlainan dengan orang biasa.
“Tetapi kita perlu sedar bahawa kebanyakan masa kita mungkin hanya dikelilingi dengan orang yang ikut arahan sahaja ataupun orang yang tidak cakap benar dan tidak membawa masalah yang sedang berlaku di akar umbi,” katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar presiden di Kongres Nasional Keadilan 2023, di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, berkata pemimpin pusat juga perlu meningkatkan komunikasi secara lebih efektif dengan pemimpin cabang termasuk memaklumkan lebih awal kepada mereka jika mahu turun ke sesuatu kawasan bagi sebarang aktiviti lapangan.
Katanya, pemakluman itu dicadang supaya dimasukkan sebagai prosedur operasi standard (SOP) penetapan jadual menteri dan timbalan menteri.
“Komunikasi yang berkesan antara pimpinan dan anggota parti adalah amat penting untuk memastikan penjajaran satu hala tuju parti.
“Misalnya, apakah inisiatif pimpinan tertinggi kita boleh ambil? Cuba bermula dengan langkah kecil. Menteri, timbalan-timbalan kita, bolehlah maklum lebih awal kepada ahli jawatankuasa cabang tempatan apabila ada aktiviti di lapangan.
“Contohnya, katakan menteri datang ke Perak, bagitahulah MPN (Majlis Pimpinan Negeri) Perak, saya percaya cabang di Perak akan cukup gembira untuk memberi sambutan terbaik kepada menteri kita,” katanya.
Mohamad berkata, menteri juga perlu memainkan peranan proaktif dalam hal komunikasi terutama di kawasan luar bandar bagi memastikan keputusan dibuat kerajaan, dapat disampaikan ke setiap sudut dengan jelas dan tepat.
Katanya, menteri perlu mengambil inisiatif turun padang, mendengar keluhan dan pandangan akar umbi supaya anggota parti diberi peluang untuk menyuarakan kebimbangan rakyat selain menyalurkan hala tuju polisi kerajaan.
BHonline-