KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memuktamadkan bantuan atau pengecualian yuran pengajian kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) warga Palestin yang menuntut di universiti awam dan swasta di negara ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata untuk pelajar warga Palestin yang menuntut di universiti awam (pengecualian yuran pengajian), ia tidak mempunyai masalah.
Katanya, bagi pelajar yang menuntut di IPT swasta (IPTS), pihaknya masih berunding dengan pihak berkenaan.
“Kita masih berunding dengan IPTS dan sudah banyak memberi reaksi positif.
“Justeru, kita sedang memuktamadkan mana-mana (IPTS) yang bersedia untuk membantu dan bersimpati dengan keadaan yang menimpa Palestin.
“Namun, tiada paksaan untuk IPTS kerana kita tahu bahawa yuran yang dikenakan adalah sesuatu yang sangat penting bagi mereka. Saya percaya mereka sangat prihatin kerana setiap universiti memang ada tabung kebajikan dan sebahagian besarnya akan guna tabung kebajikan untuk menampung (yuran),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ulang Tahun ke-40 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin.
Mohamed Khaled berkata, apabila tiba masa beliau akan umumkan berapa bantuan bulanan yang akan diberikan kepada mereka.
Media sebelum ini melaporkan, yuran pengajian bagi lebih 600 pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam di Malaysia, dikecualikan bagi tempoh setahun berkuat kuasa serta-merta.
Mohamed Khaled berkata, KPT juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak universiti swasta bagi memberi pengecualian yuran kepada lebih 200 pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di institusi mereka bagi tempoh setahun.
Menurutnya, terdapat lebih 800 pelajar Palestin yang sedang menuntut di Malaysia dengan lebih 200 pelajar adalah di universiti swasta dan selebihnya sedang menuntut di pelbagai peringkat pengajian di universiti awam.
BHonline-