KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia mengkaji syarat kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sekiranya terdapat keperluan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata pihaknya sentiasa melihat kesesuaian sesuatu program atau ijazah yang ditawarkan adalah mengikut keadaan semasa.
Katanya, kementerian dari semasa ke semasa juga akan membuat penambahbaikan dan semakan syarat kemasukan supaya lebih sesuai dan relevan dengan keadaan semasa.
“Makanya, cadangan Yang Berhormat, kita akan lihat sekiranya ada keperluan dan kesesuaian,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Bin Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula syarat kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bagi memartabatkan tahap profesionalisme perguruan.
Sementara itu, Mohammad Yusof berkata, setakat Jun tahun ini, jumlah kemasukan peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam (UA) adalah seramai 13,490 pelajar.
Katanya, berdasarkan sistem MyMohes di KPT, keseluruhan bilangan kemasukan pelajar warganegara ke peringkat Ijazah pertama di Universiti Awam dengan kelayakan masuk Asasi, Diploma, Matrikulasi, Pra Universiti Sekolah Sukan, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), APEL dan TAMHIDI USIM adalah berjumlah 342,077 pelajar.
“Pecahan bagi Diploma adalah 144,540 pelajar, STPM (92,661) dan Matrikulasi (77,967).
“Ketiga-tiga kelayakan masuk ini adalah yang tertinggi dalam tempoh empat tahun bagi peringkat Ijazah Pertama,” katanya
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) berhubung bilangan kemasukan pelajar ke universiti awam berdasarkan pecahan STPM, Kolej Matrikulasi, ASASI, dan saluran lain-lain dari 2019 hingga 2023, termasuk sesi akademik 2023/2024.
BHonline-