KEPALA BATAS : Institut Tahfiz dan Kefahaman Quran (Ma’hadul Azhar) di Jalan Pokok Sena, Kampung Banggul di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Difahamkan, seorang tenaga pengajar dan empat pelajar yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang menyebabkan 40 peratus bangunan itu musnah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu kira-kira pukul 11.52 pagi.
Ujarnya, sekumpulan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II), Khairul Affendi Arifin bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas; BBP Tasek Gelugor dibantu BBP Bertam kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah maahad tahfiz dua tingkat dengan anggaran keluasan 9.3×7.4 meter persegi (100×80 kps).
“Kebakaran berlaku di tingkat dua bangunan terbabit dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran sebanyak 40 peratus.
“Tingkat bawah dijadikan rumah manakala tingkat atas adalah asrama pelajar dan tiada penghuni di bangunan tersebut semasa kejadian.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan kerja pemadaman masih dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas beliau, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.
-Utusan Online