KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kewangan (MOF) untuk memberikan penjelasan berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Khamis depan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata bagi tajuk lain dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dikeluarkan hari ini, PAC akan memaklumkan daripada semasa ke semasa.
“Bagi prosiding PAC untuk isu di LKAN Tahun 2022, kita akan memberikan tumpuan kepada tajuk-tajuk yang dikenal pasti mempunyai unsur 3P iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran serta 1K iaitu kecuaian,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Dalam LKAN yang dibentangkan hari ini, LADA dikesan gagal mengutip hasil pajakan dua projek di Langkawi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.49 juta.
Berdasarkan laporan itu, dua projek berkenaan adalah pembangunan Hotel St Regis dengan hasil pajakan sebanyak RM3.19 juta sejak 2018.
Selain itu, ia juga membabitkan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak tahun 2003.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, jawatankuasa itu memohon kerajaan memasukkan peranan dan tanggungjawab PAC dalam pindaan Akta Audit 1957 yang dikatakan akan dipinda tahun depan.
“Langkah ini penting untuk mengiktiraf peranan PAC dan jika boleh jawatankuasa ini mempunyai punca kuasa yang lebih, berbanding tugas yang ada kini,” katanya.
Terdahulu, PAC mendengar taklimat Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Radzi berhubung tiga LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
“PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Wan Suraya dan pasukan Jabatan Audit Negara atas pembentangan yang komprehensif dan mengucapkan tahniah kepada jabatan itu yang membangkitkan isu-isu dalam LKAN yang dikenal pasti mempunyai aspek-aspek ketidakpatuhan terhadap prosedur, tatacara serta tatakelola kerajaan.
“Semoga jalinan kerjasama dan persefahaman baik antara PAC dan Jabatan Audit dapat diteruskan dalam memastikan perbelanjaan dan kewangan kerajaan digunakan secara berhemah serta memberikan pulangan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, sebanyak 14 kementerian dengan 16 laporan pengauditan dilaporkan serta 55 syor audit dikemukakan dengan jumlah keseluruhan pengauditan berjumlah RM208.882 bilion.
“Bagi LKAN Tahun 2022 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, ia membabitkan enam syarikat daripada tiga Kementerian.
“Selain itu, Jabatan Audit Negara juga membentangkan pengauditan khas terhadap Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar,” katanya.
BHonline-