PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, serta beberapa negara Arab termasuk Turkiye dan Jordan mulai 1 Disember ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri berkata, pengecualian itu bagaimanapun, tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara berkenaan yang berhasrat memasuki Malaysia.
“Saya nak mengumumkan kemudahan visa, menambah kemudahan sedia ada umpamanya bagi negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran dan semua negara Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan pada masa ini menikmati pengecualian kemudahan visa.
“Hari ini saya umumkan, tahun depan (sempena) 50 tahun hubungan diplomatik dengan China, untuk sambut semangat ini, mulai 1 Disember ini, kita beri tambahan dari negara Arab, Turkiye dan Jordan, kemudahan kepada rakyat China dan India, pengecualian visa selama 30 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, biarpun Malaysia menawarkan kemudahan itu, mana-mana pelawat yang memiliki rekod jenayah atau risiko keganasan, tidak akan dibenarkan mendapat pengecualian terbabit.
“Ini akan wewenang pasukan keselamatan manakala kemudahan lain akan diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), mungkin esok,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia memiliki hubungan baik dengan negara ASEAN, Jepun, Korea dan India selain China yang memiliki hubungan strategik dengan negara ini.
“China sambut (hubungan dengan Malaysia) dengan beri kemudahan untuk Malaysia ke China tanpa visa selama 15 hari.
“Setakat ini, pelancongan paling tinggi ke Malaysia adalah Singapura dan Indonesia di ASEAN, tetapi luar ASEAN paling tinggi adalah negara China dan potensi pelancongan dari China amat besar.
BHonline-