ALOR SETAR: Tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Merbok dekat Sungai Petani di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah pada Ahad lalu, kerana disyaki terbabit dalam urus niaga dadah.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Sumber berkata, dalam serbuan itu, sepasukan pegawai SPRM menyerbu balai berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap kereta Proton Waja yang dimiliki Balai Polis Merbok, sebelum menemui dadah di ruang tempat letak tayar simpanan.
Katanya, tiga suspek terdiri daripada Koperal berusia 32 tahun dan dua Lans Koperal masing-masing berusia 35 dan 27 tahun, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Antara barangan ditemui adalah dadah dipercayai heroin seberat 33.88 gram, dadah dipercayai syabu seberat 19.5 gram dan dadah dipercayai ganja seberat 13.99 gram.
“Nilai rampasan kesemua dadah berkenaan adalah dianggarkan RM3,290,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas tiga anggota terbabit mendapati mereka bebas pengaruh dadah.
Katanya, SPRM masih melakukan siasatan lanjut kerana kes dipercayai turut membabitkan sogokan wang tunai berjumlah RM5,000.
Sementara itu, jurucakap SPRM Kedah mengesahkan tangkapan tiga anggota polis terbabit, namun enggan mengulas lanjut.
BHonline-