Balik Pulau : Tiga guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bayu di sini, dikejarkan ke hospital selepas terdedah dengan tumpahan asid nitrik hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Rohaizal Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 10.16 pagi.
Katanya, pasukan BBP Seri Balik Pulau dibantu Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Bayan Baru ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Sebaik tiba, didapati botol asid jenis niktrik berkuantiti satu liter, tumpah di dalam bilik makmal sekolah itu.
“Ketika kejadian, cecair asid berkenaan dipercayai terdedah dan mengenai ketiga-tiga mangsa terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, pasukan HAZMAT melakukan kerja nyah cemar cecair asid berkenaan menggunakan serbuk soda dan ‘chemical binder.
Katanya, pasukan berkenaan kemudian melakukan ‘neutralising’ ke atas mangsa dengan menggunakan air.
“Kesemua mangsa yang berusia antara 32 hingga 44 tahun itu kemudian dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut apabila mengadu mengalami kegatalan kulit.
“Dipercayai kejadian berlaku selepas seorang daripada mangsa melakukan pemindahan cecair itu namun secara tidak sengaja menyebabkan ia tertumpah,” katanya operasi tamat pada jam 12.59 tengah hari.
-Harian Metro