GAZA CITY: Hamas berkata Israel cuba menjaja kemajuan ilusi di Gaza sebagai sebahagian daripada kempen perang psikologi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
“Israel cuba menjaja kemajuan ilusi di Gaza sebagai sebahagian daripada perang psikologi terhadap penduduk Gaza,” kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum dalam kenyataan semalam.
Katanya, penentangan Palestin di Gaza sentiasa teguh dan sedang mengawal pertempuran serta menjalankan operasi berkualiti terhadap kereta kebal dan kenderaan tentera rejim zionis.
“Kehadiran kereta kebal pendudukan (Israel) di lokasi tertentu tidak bermakna kawalan mereka ke atas kawasan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Tentera Israel (IDF), Daniel Hagari, dalam kenyataan berasingan mendakwa rejim zionis sudah memasuki ke beberapa kawasan berbeza di Gaza.
Mengikut angka terbaharu pihak berkuasa Palestin, sekurang-kurangnya 11,180 rakyatnya termasuk lebih 7,700 kanak-kanak dan wanita terbunuh, manakala 28,200 lagi cedera sepanjang serangan hari ke-38 Israel di Semenanjung Gaza.
Ribuan bangunan termasuk hospital, masjid dan gereja juga rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat berterusan rejim zionis ke atas Gaza.
UtusanOnline-