GAZA: Serangan udara Israel semalam merosakkan dua masjid di bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan masjid musnah sepenuhnya dalam konflik semasa kepada 59, manakala 136 masjid sebahagiannya musnah, menurut Kementerian Dalam Negeri Gaza.
“Pesawat Israel mengebom dan memusnahkan Masjid Khalid bin al-Walid dan Masjid Al-Ikhlas di Khan Yunis sepenuhnya,” menurut kenyataan kementerian.
Jurucakap Kementerian Wakaf di Semenanjung Gaza, Ikrami al-Mudallal, berkata Israel juga menyasarkan masjid ketiga di Gaza, Masjid Al-Sahwa, menjadikan jumlah masjid yang musnah sepenuhnya kepada 59.
Pesawat Israel memusnahkan sepenuhnya Masjid Al-Sahwa di Khan Yunis, dan juga memusnahkan sepenuhnya Masjid Khalid bin al-Walid dan Al-Ikhlas, al-Muduallah memberitahu Anadolu.
Beliau berkata: “Jumlah masjid yang musnah sepenuhnya meningkat kepada 59, di samping pelbagai peringkat kerosakan kepada 136 masjid dan tiga gereja, sejak bermulanya perang Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober.”
Menyasarkan kemudahan awam seperti rumah ibadat adalah melanggar peraturan peperangan. Israel mendakwa pejuang Hamas bersembunyi di dalam dan sekitar lokasi berkenaan.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober.
Sekurang-kurangnya 10,569 rakyat Palestin, termasuk 4,324 kanak-kanak dan 2,823 wanita, telah terbunuh sejak itu. Sementara itu angka kematian Israel, hampir 1,600, menurut angka rasmi. – AGENSI