BAGAN DATUK: Seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi di ladang sawit di Bagan Sungai Tiang Darat, Selekoh, hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pergerakan kumpulan itu dikesan hasil maklumat orang awam yang melihat bot dalam keadaan mencurigakan tersadai di pesisir pantai di lokasi sama pada 3.45 pagi.
“Pemeriksaan mendapati tiada warga asing dalam bot, namun pemeriksaan lanjut di kebun sawit berhampiran menemukan 40 lelaki dan 20 wanita dipercayai warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 64 tahun.
“Bot terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun tersadai akibat kerosakan enjin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Yusri berkata, hasil pemeriksaan terhadap semua warga asing berkenaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menyalurkan kepada polis supaya tindakan pembanterasan dapat dilakukan segera.
BHonline-