NEW DELHI : Sebuah kapal dagang yang dikatakan berkait Israel, mengalami serangan dron di Laut Arab di luar pantai barat India, hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menurut agensi tentera Britain, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), serangan itu menyebabkan kapal berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, setakat ini.
Firma keselamatan maritim, Ambrey pula memaklumkan bahawa insiden itu membabitkan kapal tangki dengan bendera Liberia yang membawa produk kimia.
“Kapal itu bersekutu dengan Israel, dan dalam perjalanan dari Arab Saudi ke India,” katanya.
Menurut kedua-dua agensi itu, serangan terbabit berlaku kira-kira 200 batu nautika barat daya Veraval, India.
Susulan itu, UKMTO berkata, pihak berkuasa melancarkan siasatan, manakala kebakaran pada kapal terbabit berjaya dipadamkan.
Ambrey pula berkata, tentera laut India sedang mengambil tindakan berkaitan.
Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
-Berita Harian