BATU PAHAT – Siasatan berhubung kehilangan Mila Sharmila Samsusah, 32 atau Bella tetap diteruskan polis, meskipun penahanan teman lelaki wanita tersebut gagal merungkai misteri kehilangan ibu tunggal itu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Jumaat.
Namun, polis akan meneruskan siasatan untuk mencari punca sebenar kehilangan ibu tunggal beranak dua itu.
“Selain soal siasat ke atas individu yang disyaki terlibat dengan kehilangan Mira atau lebih dikenali sebagai Bella itu, kami juga menggunakan kaedah-kaedah lain untuk mencari puncanya.
“Siasatan akan terus berjalan untuk mencari punca sebenar kehilangan ibu tunggal beranak dua itu,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut Ismail lagi, lelaki berkenaan dibebaskan lewat petang semalam selepas siasatan terhadapnya sebagai orang terakhir bersama Bella selesai.
Sementara itu, keluarga Bella terus mengharapkan anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya ditemui walaupun sudah memasuki hari ke-16 kehilangannya pada Sabtu.
Kakaknya Norisham, 36, berkata, keluarganya kini buntu untuk memikirkan apakah langkah seterusnya yang boleh dilakukan bagi merungkai kehilangan adiknya itu.
“Apa yang diharapkan kini hanyalah doa ibu kepada ALLAH agar Bella dapat ditemukan semula dalam keadaan selamat akan dimakbulkan,” katanya.
SinarHarian-