Kuala Lumpur: Padah memiliki gambar lucah dalam komputer riba dan telefon bimbit, seorang penjual baju atas talian didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Yi Hang, 32, yang mengaku bersalah memiliki gambar lucah dalam sebuah komputer riba dan lapan telefon bimbitnya di sebuah unit kondominium di Taman Kobena, Cheras, di sini, pada 4.30 petang, 22 Mei lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda berkenaan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Ashraf Fahmi Abdul Aziz yang mewakili Yi Hang memohon hukuman denda paling minimum atas alasan itu kesalahan pertama anak guamnya.
“Anak guam saya belum berkahwin dan dia menanggung keluarga serta ibu bapanya. Bahan-bahan lucah itu adalah untuk peribadi (tertuduh) dan bukan untuk dijual,” katanya.
HarianMetro-