KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi jaminan perkhidmatan disediakan agensi itu tidak akan terencat, biarpun berdepan serangan siber daripada pihak belum dikenal pasti.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
PERKESO dalam kenyataannya hari ini, turut mengakui sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawangnya diserang penggodam, sejak Sabtu lalu.
Serentak itu, PERKESO mengaktifkan pelan pengurusan krisis pada hari sama, dengan unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.
Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi serangan siber itu bertujuan melumpuhkan semua infrastruktur digunakan PERKESO bagi operasi harian.
“Namun, unit ICT PERKESO berjaya mendapatkan semula kawalan sistem, menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan ‘character assasination’ (pembunuhan watak) terhadap imej PERKESO.
“PERKESO memberi jaminan, usaha terancang didalangi penggodam ini tidak akan merencatkan perkhidmatan kepada pencarum, majikan dan orang ramai.
“Justeru, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan,” katanya.
Mengulas kebocoran maklumat dipaparkan di ‘dark web’ (web tertutup), PERKESO berkata, hasil penelitian awal mendapati kesahihan data dicuri penggodam amat diragui, tidak lengkap dan luput.
Ini kerana, katanya, kluster data yang dicuri berkenaan tidak pernah dicerap PERKESO, sejak agensi berkenaan ditubuhkan pada Oktober 1971.
“Ini bukan serangan siber pertama terhadap PERKESO, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan ia berjaya dibendung.
“Tindakan ini adalah serangan yang menyasarkan kepentingan negara, justeru segala hasil forensik akan dikongsi kepada pihak berkuasa bagi mengelak perkara sama berulang, termasuk di agensi lain,” katanya.
BHonline-