PETALING JAYA : Pasukan polis hari ini, meneruskan siasatan dengan berusaha mencari bukti baharu di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini bagi membantu merungkai kes pembunuhan membabitkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang mayatnya ditemui pada 6 Disember lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Memasuki hari ke-10 pencarian bukti itu, seorang pegawai polis dilihat berbual dengan penduduk sebelum masuk ke Blok R apartment terbabit, dipercayai bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu mengesan dalang yang terbabit dalam kes itu.
Sementara itu, polis dari Bukit Aman pula tiba kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam dan menjalankan siasatan di sekitar kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan di saliran berdekatan takungan air iaitu 200 meter dari rumahnya.
Semalam, dua saksi kanak-kanak masing-masing berusia enam dan sembilan tahun melakukan lakonan semula di kawasan blok R Apartment Idaman, Damansara Damai bagi membantu siasatan kes bunuh itu selepas mereka yang juga rakan mangsa melihat Zayn Rayyan sebelum dia hilang pada 5 Disember lalu.
Lakonan semula itu dibuat bermula dari anak tangga Blok R hingga menuju ke anak sungai lokasi mayat mangsa ditemui, bagi mengesan jika ada bukti baharu yang boleh membantu siasatan kes.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, setakat ini pihaknya sudah mengambil 86 keterangan dan akan ada lagi keterangan diambil sekiranya perlu.
-Berita Harian