LIPIS: Dua penduduk masyarakat Orang Asli Kampung Lenjang dan Kampung Sinderut, pedalaman Ulu Jelai di sini buntu kerana belum dapat membawa pulang mayat ahli keluarga mereka ke kampung untuk disemadikan berikutan tiada kenderaan bagi urusan tersebut.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Sehingga kini, dua mayat terbabit masih berada di Unit Forensik Hospital Lipis sejak semalam setelah disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan Covid-19.
Difahamkan, masalah itu berlaku disebabkan ketiadaan kenderaan pihak berwajib kerana kemudahan pengangkutan sedia ada di situ milik sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab berhubung hal ehwal Orang Asli tersadai rosak.
Seorang ahli keluarga Kampung Sinderut, Amri Bah Jong, 24, berkata, dia masih menunggu kenderaan untuk membawa pulang isterinya, ErraFazira Hamzah, 27, yang meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman bagi disemadikan di kampung halaman sejauh 170 kilometer dari Hospital Lipis.
“Sudah tiga hari saya di sini menunggu isteri sakit dan kemudiannya meninggal dunia awal pagi hari ini sehingga kehabisan wang belanja.
“Mayat isteri saya sudah dibenarkan dibawa pulang oleh pihak hospital, tetapi macam mana kerana tiada kenderaan untuk ke Kampung Sinderut. Saya menghubungi pihak berwajib, tetapi gagal,” katanya di Hospital Lipis di sini hari ini.
Menurut Amri, dia tidak tahu hendak meminta pertolongan kepada sesiapa lagi malah langsung ketiadaan wang sedangkan mayat isterinya perlu disemadikan segera mengikut adat kaum tersebut.
Rakannya, dari Kampung Lenjang, Rosnan Bah Ding, 44, juga mengalami nasib yang sama kerana tiada ada bantuan kenderaan pihak berwajib untuk membawa balik mayat isterinya, Wak Sai Bah Ema, 48, ke kampung halaman yang jaraknya 86 kilometer, iaitu kira-kira lima jam perjalanan dari bandar Kuala Lipis.
“Isteri saya dirawat sebelum ini dipercayai jangkitan Covid-19 dan disahkan meninggal dunia selepas dirawat dua hari lalu dan mayatnya dibenarkan dibawa pulang, tetapi masalahnya saya tiada mempunyai kenderaan.
“Tidak ada kenderaan lain yang sanggup menghantar mayat ini pulang ke kampung melainkan kenderaan milik agensi kerajaan berkenaan.Tetapi bagaimana saya nak minta bantuan pihak lain setelah menghubungi pihak berwajib, tetapi tidak menjawab panggilan,” katanya dengan perasaan sedih.
Rosnan berkata sewajarnya pihak berwajib lebih peka dengan kebajikan Orang Asli lebih-lebih lagi melibatkan kematian khususnya keselesaan mayat dibawa pulang untuk disemadikan.
Ujarnya, dia juga kehabisan wang untuk berbelanja sejak menunggu mendiang isterinya yang dirawat sebelum ini sehingga meninggal dunia dan tertekan akibat timbul masalah tersebut.
UtusanOnline-