KUALA LUMPUR : Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selesai membayar ikat jamin RM280,000 seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Beliau yang berkerusi roda selesai membayar ikat jamin itu jam 11.24 pagi dengan ditemani isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Terdahulu, Daim, 86, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengisytiharan 70 aset hartanya.
Daim membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta itu membabitkan aset antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, 38 syarikat dan 25 hartanah serta tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah.
Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
-Berita Harian