JAKARTA: Gunung Lewotobi Laki-Laki di Indonesia meletus semula hari ini, memuntahkan awan abu setinggi dua kilometer (km) di atas puncaknya ketika pihak berkuasa menaikkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Letusan itu susulan aktiviti gunung berapi berkenaan yang semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu, yang terletak di timur Pulau Flores dan mendorong kerajaan tempatan mengeluarkan perintah pemindahan untuk penduduk berhampiran.
“Penduduk digesa segera berpindah ke tempat selamat untuk mengelak abu panas (dari gunung berapi),” kata pegawai tempatan, Benediktus Bolibapa Herin kepada AFP hari ini.
Benediktus berkata, pihak berkuasa tempatan menubuhkan dua pusat perlindungan sementara yang kini menempatkan kira-kira 5,000 orang.
Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) pada lewat petang semalam menaikkan tahap amaran Lewotobi Laki-Laki kepada empat, selepas ia dinaikkan ke paras kedua tertinggi minggu lalu dan mengenakan zon pengecualian empat hingga lima kilometer di sekitar kawah.
Ketua PVMBG, Hendra Gunawan dalam satu kenyataan, berkata penduduk tempatan dinasihatkan berwaspada dengan potensi banjir apabila aliran lahar gunung berapi mencurah ke dalam sungai.
Beliau berkata, orang ramai harus memakai pelitup muka ‘untuk mengelakkan bahaya abu gunung berapi terhadap sistem pernafasan’.
Negara kepulauan Asia Tenggara itu terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti gunung berapi dan seismik yang tinggi serta mempunyai hampir 130 gunung berapi.
Pihak berkuasa Indonesia hari ini meningkatkan status berjaga-jaga bagi Gunung Merapi, yang terletak di pulau Sumatera di negara itu ke tahap kedua tertinggi dan mengenakan zon berkecuali 4.5 kilometer dari kawahnya.
Letusan Merapi, yang bermaksud ‘gunung api’ pada Disember membunuh 23 orang.
BHonline-