Melaka: Seorang wanita didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, dekat sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi WhatsApp di sebuah hotel, minggu lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman terbabit selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh berusia 39 tahun itu.
Mengikut pertuduhan, wanita yang juga ibu kepada tiga anak dituduh mencari langganan bagi maksud persundalan di bilik sebuah hotel di Jalan Laksamana Cheng Ho, di sini, pada jam 9.40 malam, 11 Januari lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham merayu hukuman denda paling minimum atas alasan anak guamnya sudah insaf hasil pengalaman direman empat hari bagi siasatan kes selain itu adalah kesalahan pertamanya.
Katanya, faktor kesempitan hidup untuk membesarkan tiga anak berusia empat, sembilan dan 13 tahun berikutan suami ditahan di penjara menyebabkan tertuduh terjebak dalam kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Haqim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 dan jika gagal bayar, tertuduh dikenakan penjara tiga bulan.
HarianMetro-