WASHINGTON : Kapal persiaran terbesar di dunia, Icon of the Seas milik Royal Caribbean International melakukan pelayaran sulungnya semalam.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kapal yang mengambil masa 900 hari dibina di limbungan kapal di Turku, Finland, dilaporkan lebih panjang daripada Menara Eiffel dengan memiliki 20 dek dan ruang untuk lebih daripada 5,600 penumpang (7,600 pada kapasiti maksimum) dan 2,350 anak kapal.
Bagi memastikan tiada siapa yang bosan atau lapar, kapal yang didaftarkan di Bahamas, mempunyai tujuh kolam renang termasuk ‘tasik’ 40,000 gelen air, enam gelongsor air, karusel, yang dikatakan sebagai arena ais terbesar di laut dan lebih 40 tempat makan dan bar.
Selain itu terdapat 50 pemuzik dan pelawak serta 16 orkestra.
Kapal bernilai AS$2 bilion (RM9.4 bilion) yang pertama dalam kapal Kelas Kuantum baharu Royal Caribbean juga disertakan dengan teknologi terkini dan mesra alam berbanding kapal persiaran yang lebih kecil.
Kuasa kapal ini dijana oleh gas asli cecair mesra alam (LNG) walaupun sesetengah pakar mengatakan sistem ini boleh membocorkan jumlah gas metana yang merosakkan atmosfera.
Ia juga mempunyai sistem pirolisis dibantu gelombang mikro untuk menukar sisa kepada gas menghasilkan tenaga dan sistem osmosis songsang untuk menyediakan hampir semua air tawar yang diperlukan kapal.
Selepas meninggalkan pangkalannya di Miami untuk pelayaran sulungnya, syarikat itu berkata penjualan tiket luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini dan akan menghabiskan seminggu di Caribbean sebelum kembali ke Miami.
Dengan panjang 365 meter, kapal itu dijangka merangkul gelaran terbesar di dunia berbanding Wonder of the Seas.
-Berita Harian