NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengumpul pandangan dan input daripada semua pihak berhubung garis panduan pemakaian murid ke sekolah, sama ada tidak perlu memakai pakaian seragam untuk sesi persekolahan akan datang.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengambil pendekatan terbuka berhubung isu tersebut dan setakat ini masih terus memberi kelonggaran kepada murid untuk hadir ke sekolah tanpa seragam.
“Kita masih mendengar pandangan, input dan sumbang saran daripada semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pemegang taruh berkaitan isu pakaian seragam ini. Setakat ini kita belum buat sebarang keputusan lagi.
“Tapi untuk setakat ini, teruskan dengan pemakaian yang ada, yang penting pergi ke sekolah dengan berpakaian. Itu yang penting,” katanya hari ini.
Dakwaan larang takbir, qunut nazilah di sekolah: Fadhlina beri 48 jam kepada Ahli Parlimen Jasin, Harakahdaily
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas mengadakan lawatan kerja gangguan bekalan air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, di sini dan sebelum itu turut meninjau SMK Raja Tun Uda di Bayan Lepas dan SMK Permatang Pasir di Permatang Pauh.
Pada 3 Mei tahun lalu, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan komplikasi kesihatan.
Mengulas lawatan kerjanya hari ini, Fadhlina berkata, beliau melihat komitmen tinggi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah khususnya para guru dalam memastikan pendidikan murid di sekolah masing-masing tidak terjejas.
Beliau melihat guru-guru melakukan persediaan yang amat baik dalam melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas semua sekolah di Pulau Pinang melaksanakan PdPR ekoran gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula semalam.
Sebelum ini media melaporkan semua sekolah di Pulau Pinang kecuali pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani sesi PdPR susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari, bermula 10 Januari.
-Berita Harian