Kuala Lumpur: Malaysia akan membuat permintaan kepada China supaya tempoh peminjaman pasangan panda, Xing Xing dan Liang Liang kepada negara ini dilanjutkan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mengikut jadual, Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan kepada Malaysia pada 2014 dan mereka akan berada di Malaysia sehingga 20 Mei 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menghubungi Presiden China Xi Jinping untuk memohon pelanjutan tempoh kedua-dua panda itu tinggal di negara ini.
“Saya akan hubungi Xi Jinping untuk melihat mekanisme yang boleh dilakukan untuk melanjutkan tempoh panda berkenaan tinggal di Malaysia.
“Seperti diketahui hubungan hebat antara kedua-dua negara, saya optimistik bahawa China akan berikan pertimbangan dan sokongan kepada permintaan kita ini,” katanya pada Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun Ke-60 Zoo Negara, di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Presiden Malaysian Zoological Society Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Ditanya mengenai ada yang berpandangan kehadiran panda itu sebagai membazir dan sepatutnya dipulangkan, beliau menjelaskan Malaysia tidak membayar harga panda berkenaan.
“Kita tidak bayar harga panda itu, cuma penjagaannya sahaja dan kalau ada kesediaan. Apabila ditanya kepada orang ramai, di antaranya yang berkunjung ke Zoo Negara adalah nak melihat panda.
“Kadang-kadang ada orang cerdik pandai di Kuala Lumpur dia tak minat sebab dia boleh pergi ke negara China melihat panda.
“Namun bagi rakyat kebanyakan, dia merasakan ini sahaja peluang sekali dan seumur hidup melihat panda. Jadi saya ketimbang dari segi itu,” katanya.
Perdana Menteri mengakui bahawa ia sememangnya melibatkan kos penjagaan agak mahal termasuk hal penyelenggaran dan pengurusan makanan.
“Tetapi inilah sedikit belanja yang boleh menyenangkan pengunjung, jadi kita kena lihat dari segi itu,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukkan RM5 juta kepada Zoo Negara sebagai tambahan RM5 juta dikumpul pihak zoo itu menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat.
“Jadi dengan RM10 juta itu boleh baiki perancangan dan projek. Mungkin ada satu sudut madani di Zoo Negara ini,” katanya.
HarianMetro-