JOHOR BAHRU – Bekas vokalis Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, berharap peminat mendoakan dirinya yang kini berdepan pendakwaan kes memiliki dan mengambil dadah.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPPā¦..
Pada masa sama, dia yang lebih dikenali sebagai Mamat Exists memaklumkan akan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Psikiatri Permai, di sini bermula Selasa.
“Alhamdulillah, sekarang ni saya tengah hadapi kes 39C (Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952). Selain itu saya juga perlu dihantar ke Pusat Psikiatri untuk mendapatkan rawatan lanjut bermula hari ini.
“Semoga semua peminat dapat beri sokongan yang lebih baik untuk saya agar boleh teruskan dalam aktiviti seni selepas ini, terima kasih,” katanya ringkas ketika keluar meninggalkan Mahkamah Majistret di sini pada Selasa dalam keadaan bergari.
Terdahulu, Mamat berdepan dua pertuduhan melibatkan kesalahan dadah masing-masing di bawah Seksyen 39C dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, peguamnya, Azlina Abdul Aziz berkata, anak guamnya didakwa atas kesalahan lama iaitu pada 2019.
“Mamat ditahan bersama-sama seorang rakan pada jam 2 pagi di Taman Perling, 7 Januari lalu. Polis menjalankan pemeriksaan rutin dan mendapati tiada sebarang bahan terlarang dalam milikannya, malahan ujian urin yang dibuat juga negatif.
“Tetapi semasa pemeriksaan lanjut dibuat, polis mendapati Mamat berada dalam senarai dikehendaki atas kesalahan dadah pada tahun 2019, menyebabkan dia ditahan,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Tambah Azlina, anak guamnya akan dibawa untuk mendapatkan rawatan psikiatri selepas menghidap penyakit mental sejak 10 tahun lalu.
“Sepanjang tempoh itu dia memang ada makan ubat dan mengambil suntikan.
“Kita tunggu laporan pakar pada 20 Februari depan. Saya percaya Mamat boleh berubah, kita tahu dia banyak kes tetapi saya percaya kepada peluang kedua,” ujarnya.
Beliau berkata, kes tersebut sebelum ini tidak diteruskan selepas Mamat diberikan jaminan polis dan pada masa sama pegawai penyiasat terbabit mengalami kemalangan dan tidak lagi berkhidmat dengan polis.
SinarHarian-