Johor Bahru : Pemilik stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas dua pertuduhan menjual diesel bersubsidi kepada bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura pada tahun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Orang Kena Saman (OKS) Soraya Md Tamyes, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Soraya didakwa selaku pemegang lesen runcit didapati gagal mematuhi arahan pengawal melalui Larangan dan Kawalan Penjualan Petrol dan Diesel oleh Pemegang Lesen Runcit bagi Pengusaha Stesen Minyak yang menyatakan di Perenggan 2(c) bahawa dibenarkan menjual diesel tidak lebih daripada 20 liter dengan sekali transaksi sahaja dalam sehari kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing termasuk motosikal.
Namun OKS menjual diesel sebanyak 250 liter kepada bas nombor pendaftaran asing.
Kesalahan itu dilakukan pada 19 Mei tahun lalu pada 11.04 pagi di sebuah stesen minyak di Jalan Kempas Baru di sini.
Bagi pertuduhan kedua, Soraya didakwa atas kesalahan sama dengan jumlah penjualan diesel, di stesen minyak dan kenderaan yang sama pada 10.34 pagi 30 Mei tahun lalu.
Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 21(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Sabiq Muhamad Subri, manakala OKS tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
-Harian Metro