HULU SELANGOR: Keluarga dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang dari surau perumahan Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, pagi 1 Januari lalu bergegas meninggalkan kediaman mereka hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tindakan mereka itu menyebabkan wartawan yang membuat tinjauan terpinga-pinga, apatah lagi rata-rata mereka menunggu untuk mendapatkan reaksi berhubung penemuan kedua-dua remaja, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun.
Bagaimanapun, ibu mangsa berusia 39 tahun kemudian tampil bertemu pengamal media di luar perkarangan rumahnya.
“Alhamdulillah. Syukur Along dan Angah sudah selamat (dijumpai). Cuma minta tolong demi keselamatan saya dan keluarga kerana kami dalam keadaan tidak tahu apa-apa.
“Insya-Allah lepas ini kita jumpa lagi. Saya kena cepat, …minta maaf sangat kerana ada urusan nak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terdekat (IPD Hulu Selangor),” katanya.
Pada masa sama, wanita itu turut merayu supaya wartawan dan masyarakat menjaga maruah kedua-dua anak lelakinya, selain tidak mendedahkan nombor pendaftaran keretanya.
“Minta tolong jaga muka anak saya. Keselamatan kami sangat-sangat penting termasuklah kereta kami. Minta tolong (elak dedah).
“Saya faham anda cukup faham apa terjadi. Terima kasih atas segala doa segala bantuan yang sudah tolong (sebak). Sekali lagi mohon maaf,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, media melaporkan seorang remaja lelaki ditemukan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang lelaki berusia 17 tahun, 12 Januari lalu.
Beliau berkata, mangsa mendakwa dirinya dicabul dan diperlakukan perkara tidak senonoh oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim pula memaklumkan adik remaja lelaki berusia 16 tahun pula ditemui selamat.
BHonline-