IPOH: Seramai 117 pelacur dan gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) dalam serbuan terhadap lima premis pusat hiburan sekitar bandar raya ini dalam operasi malam tadi hingga awal hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mereka adalah antara seramai 131 warga asing yang ditahan dalam operasi itu. Turut ditahan adalah 10 warga tempatan membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita yang menjadi penjaga premis, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan 141 orang.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, berkata operasi bermula 11 malam tadi dilakukan terhadap dua premis pusat pelacuran serta tiga premis pusat hiburan oleh sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Imigresen.
Katanya, warga asing yang ditahan terdiri daripada warga China (52 wanita); Vietnam (41 wanita); Thailand (21 wanita); Indonesia (2 wanita, 1 lelaki); Laos (1 wanita); Bangladesh (8 lelaki); Myanmar (4 lelaki) dan seorang lelaki tanpa taraf kewarganegaraan (stateless), berusia antara 18 hingga 36 tahun.
Semakan awal mendapati 58 daripada warga asing yang ditahan itu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), dan Pas Penggajian (Employment Pass) yang masih sah; sementara selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Beliau berkata, sindiket di dua premis pelacuran itu melakukan promosi wanita warga asing menggunakan gambar mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp dengan bayaran yang dikenakan antara RM200 hingga RM500; manakala bagi khidmat penghantaran pelacur ke luar premis itu atau ‘outcall girl’ bayaran dikenakan antara RM800 hingga RM1,000.
Jafri berkata, tiga pusat hiburan pula menggunakan modus operasi menyediakan perkhidmatan pelayan perempuan atau GRO warganegara asing dan hanya menyasarkan pelanggan tetap sahaja secara tempahan melalui panggilan telefon.
Pelacur sembunyi di bilik rahsia
Pusat hiburan mengenakan bayaran antara RM800 hingga RM10,000 mengikut kategori bilik yang ditempah manakala untuk tempahan wanita warganegara asing, bayaran RM150 bagi 1 jam akan dikenakan selain premis itu turut dilengkapi beberapa bilik ‘rahsia’.
“Semasa serbuan dilakukan di tiga premis hiburan ini, wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan cuba lari dan bersembunyi di bilik-bilik rahsia.
“Terdapat juga pelanggan yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang Imigresen menggeledah namun tindakan itu dipatahkan.
“Sindiket ini sudah beroperasi selama setahun dan mampu mengaut keuntungan RM24,000 sebulan,” katanya dalam sidang media.
Menurutnya, seramai 69 lelaki tempatan, dua lelaki Bangladesh dan seorang wanita Malaysia turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen Perak bagi membantu siasatan.
BHonline-