KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan memecat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Katanya, tindakan itu dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.
“Saya sudah bagi peluang dan nasihat buat terbaik kepada negara tetapi beliau tidak memberikan perkhidmatan yang sepatutnya.
“Malah, dalam satu mesyuarat yang terbaharu, saya bagi arahan jangan lakukan sesuatu tetapi beliau buat juga sebab itu saya arahkan pertukaran dibuat serta-merta.
“Ini mengenai prestasi (Ammar) dan tiada kaitan dengan isu perkauman …saya sedih dikata begitu (perkauman) apabila dia kata Manoharan (Ketua Pengarah baharu) boleh duduk minum bersama-sama dengan saya.
“Dia tiada idea atau dia tak tahu. Kalau kamu tidak boleh ‘perform’ saya mesti tukar dan ia bukan pecat.
“Saya bagi dia turun pangkat sahaja, memang dari dulu bila Ketua Pengarah (KP), bekas KP pencen memang dia dalam senarai bukan nombor satu.
“Saya beri peluang sebab dia ada PhD (Ijazah Kedoktoran) dalam pelancongan.
“Tetapi dia tidak jalankan tugas, dia tidak membuktikan PhD itu. Dia tidak melakukan libat urus dengan negeri-negeri,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ditanya mengenai dakwaan pemecatan Ammar berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.
Berita lanjut menyusul
BHonline-