KUALA LUMPUR : Seorang individu bergelar Datuk antara yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung perbelanjaan kempen Promosi Keluarga Malaysia oleh pentadbiran sebelum ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Difahamkan, individu itu sudah diambil keterangan oleh SPRM beberapa minggu lalu bersama seorang bekas Perdana Menteri.
“Setakat ini siasatan masih dijalankan oleh pegawai penyiasat dan akan ada individu lain dipanggil untuk membantu siasatan,” kata sumber.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi BH mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menjalankan siasatan berhubung isu penggunaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Azam ketika mengesahkan perkara itu dilaporkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri untuk memberi keterangan berhubung perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Beliau berkata, turut dipanggil pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.
Pada 10 Januari lalu, SPRM mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
-Berita Harian