Shah Alam: Bekas Ahli Parlimen Kapar didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan menggunakan perkataan yang mengaibkan Januari lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hukuman itu dijatuhi Majistret Sasha Diana Sabtu selepas S Manikavasagam, 59 membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda dan tertuduh membayarnya.
Mengikut kertas pertuduhan bekas Ketua PKR Cabang Kuala Selangor itu didapati berkelakuan kurang sopan terhadap seorang individu dengan menghantar mesej kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Justeru dia melakukan kesalahan yang yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan – Kesalahan Kecil Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.
Berdasarkan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, sesiapa yang menggunakan perkataan kurang sopan, mengugut, aib atau menghina atau berkelakuan dengan cara mengugut atau menghina atau menampalkan atau melekatkan atau mempamerkan kertas bertulis atau lukisan kurang sopan mengugut aib atau menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan boleh didenda tidak melebihi RM100.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Subang Jaya pada jam 3.27 petang, 4 Januari lalu.
Terdahulu, ketika rayuan, Manikavasagam memaklumkan mahkamah beliau kini adalah pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan bersedia membayar denda yang dijatuhkan terhadapnya.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kapar selama sepenggal iaitu antara 2008 hingga 2013.
Bagaimanapun bekas wakil rakyat itu melepaskan jawatan dan keluar dari PKR pada April 2018 selepas keahliannya dalam parti itu digantung pada Ogos 2017.
HarianMetro-